Misi kemanusiaan Flotila Sumud Global (GSF) ke Gaza makin mencabar bila kapal yang membawa sukarelawan antarabangsa, termasuk 34 rakyat Malaysia, dijangka masuk ke zon kuning dalam masa lebih kurang 20 jam lagi.
Teruskan MembacaPerkara itu dikongsikan pendakwah bebas, PU Rahmat (Rahmat Ikhsan) yang juga salah seorang sukarelawan Malaysia, menerusi hantaran di Facebook malam Ahad.
“Kurang lebih 20 jam sebelum sampai ke zon kuning. Terus sumud!!” tulisnya ringkas.
Dalam perkongsian lain, PU Rahmat turut ajak umat Islam, terutama yang berpuasa Isnin, untuk sama-sama mendoakan keselamatan flotila ini.
“Kepada semua yang berpuasa Isnin, masa nak berbuka nanti, panjatkan doa agar kapal berlabuh di Gaza, semua delegasi selamat daripada kecederaan dan pulang ke negara masing-masing,” katanya.
Flotila ini membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, dan dijangka tiba di Gaza esok menurut laporan Anadolu Ajansi.
Misi kali ini disertai sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat. Bagi Malaysia, pasukan sukarelawan bernaung di bawah panji Sumud Nusantara yang diketuai CEO Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.