Pengarah hospital terbesar di Genting Gaza pada Selasa memaklumkan kira-kira 179 pesakit yang meninggal dunia terpaksa dikebumikan di dalam ‘kubur besar’ di kompleks tersebut yang kini kehabisan bekalan bahan api.
Situasi menyayat hati di Hospital al-Shifa itu diumumkan Mohammad Abu Salmiyah sambil menambah jumlah yang disemadikan dalam satu liang lahad itu termasuk tujuh bayi dan 29 pesakit di unit rawatan rapi (ICU).
Teruskan Membaca“Terdapat mayat bergelimpangan di sekitar hospital dan bekalan elektrik di rumah mayat juga sudah terputus,” ujarnya.
Wartawan yang berada di lokasi itu turut mengesahkan bau busuk mayat mereput menyelubungi seluruh hospital berkenaan walaupun kempen pengeboman sejak malam Isnin dilaporkan ‘tidak seganas’ pada akhir minggu lalu.
“Kami tiada bekalan elektrik, tiada sumber air dan makanan. Keadaan semakin teruk dan tidak berperikemanusiaan,” kata seorang doktor yang enggan identitinya didedahkan.
Dalam perkembangan berkaitan, konvoi kereta kebal dan kereta perisai rejim Zionis dilaporkan menghampiri pagar utama hospital berkenaan yang menjadi tempat berlindung kira-kira 20,000 penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal.
Operasi pencerobohan tersebut dilancarkan setelah tentera Israel menuduh pejuang Hamas menggunakan terowong di bawah hospital itu sebagai ‘pusat perintah’ dan menjadikan pesakit dan mangsa cedera sebagai ‘perisai manusia’.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) juga menyatakan kononnya mereka tidak menyasarkan hospital sebaliknya hanya mahu menghapuskan pejuang Hamas. – Agensi
Baca juga: