PETALING JAYA: Istana Pahang tampil menafikan dakwaan kononnya Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj pernah menawarkan bantuan kepada orang ramai menerusi aplikasi TikTok.
Teruskan MembacaIsu ini timbul selepas muncul sebuah akaun TikTok bernama “Datuk Muhammad Yusuf” yang dikesan memperdaya orang ramai dengan menggunakan wajah baginda melalui teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi pada Isnin, Istana Pahang melahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi seperti ini yang boleh menjejaskan nama baik institusi diraja.
“Istana Pahang menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh merosakkan imej institusi diraja,” jelas kenyataan itu.
Orang ramai juga diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan tawaran yang tersebar di media sosial, terutama apabila melibatkan nama atau wajah kerabat diraja.
Dalam masa sama, Istana Pahang turut menggesa sesiapa sahaja yang menerima mesej mencurigakan atau dihubungi oleh pihak tidak dikenali menggunakan nama Tengku Ampuan Pahang agar segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.