GEORGETOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingatkan rakyat bahawa Hari Malaysia bukan sekadar tarikh 16 September, tapi lebih kepada mengenang perjuangan generasi lama yang sanggup berkorban demi kebebasan negara.
Teruskan MembacaBerucap di sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang malam tadi, Anwar kata kemerdekaan yang kita kecapi hari ini lahir daripada perjuangan panjang penuh derita, darah, air mata dan keringat rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Beliau turut menyebut tokoh negara seperti Tunku Abdul Rahman, Temenggung Jugah, Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens yang berjaya menyatukan kepelbagaian demi membentuk Malaysia yang merdeka dan berdaulat.
Tapi katanya, cabaran selepas merdeka jauh lebih besar kerana ia menuntut kepimpinan yang berintegriti, bukannya mengulangi kerakusan penjajah.
“Kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas jasad, tapi juga jiwa dan pemikiran. Kita kena bina negara dengan nilai, akhlak dan tadbir urus yang baik,” katanya.
Anwar juga tekankan bahawa perpaduan rakyat jadi asas utama Malaysia dengan hak Melayu dan Bumiputera terjamin dalam Perlembagaan, sementara peluang adil untuk semua rakyat pula jadi kunci kemajuan negara.
“Apa guna kita usir penjajah, kalau penguasa tempatan pula perangai sama, tamak, rakus dan menindas rakyat?” soalnya.
Selain itu, Anwar turut menyentuh isu global termasuk konflik Palestin yang menurutnya beri pengajaran tentang pentingnya kesatuan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Hanya dengan bersatu dan merapatkan jurang kaum, agama dan wilayah, kita boleh pertahankan negara tercinta ini,” jelas beliau.
Katanya lagi, setiap negeri ada peranan besar dalam pembangunan negara, Pulau Pinang dan Johor sebagai pusat industri, Sarawak sebagai hab tenaga, manakala Sabah pula punya potensi pertumbuhan ekonomi paling tinggi.
“Kerangka Malaysia MADANI fokus kepada pembangunan seimbang, pacu ekonomi, teknologi dan tenaga baharu, tapi dalam masa sama tetap jaga nilai budaya serta kemanusiaan,” tambah Anwar.