KUALA LUMPUR: Satu insiden di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras mencetuskan perbincangan hangat apabila seorang individu mendakwa ibunya terkena sampah yang dibuang dari tingkat atas bangunan tersebut.
Teruskan MembacaDalam perkongsian di media sosial, individu berkenaan menjelaskan ketika itu beliau sedang menghantar neneknya dan bersalaman di kawasan parkir. Secara tiba-tiba, sebuah plastik sampah jatuh tepat mengenai kepala ibunya, lalu mengotorkan pakaian dan kereta mereka. Bau busuk daripada cecair sampah tersebut menyebabkan ibunya terpaksa menukar pakaian.
Lebih mengejutkan, dalam plastik berkenaan terdapat parcel yang tertera alamat penuh penghuni. Berbekalkan maklumat itu, individu terbabit terus ke unit berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.
Penghuni yang ditemui menafikan mereka yang membuang sampah tersebut, sebaliknya mendakwa plastik berkenaan ditinggalkan di luar rumah di tingkat lima. Namun, seorang ahli keluarga mereka tampil membantu membersihkan kenderaan dan kawasan yang tercemar.
Perkongsian ini pantas tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap sikap segelintir penghuni PPR yang membuang sampah tanpa menghiraukan keselamatan orang lain. Rata-rata netizen mendesak pihak berkuasa serta pengurusan flat mengambil tindakan lebih tegas kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja mencemarkan kawasan, malah boleh mendatangkan risiko kecederaan.
Insiden ini sekali lagi membuka persoalan, sampai bila isu pembuangan sampah dari tingkat atas akan berterusan, dan bila tahap kesedaran sivik masyarakat bandar benar-benar akan berubah?