VIDEO tular berkenaan seorang pempengaruh dan usahawan berjaya, Hafiz Mahamad, berhimpit-himpit dengan orang ramai di hadapan batu Hajar Aswad.
Tindakannya itu rata-rata menerima pelbagai reaksi dikalangan netizen kerana dianggap seperti tidak wajar sama sekali terutamanya apabila berada di tempat suci.
Teruskan MembacaVideo yang berdurasi 1 minit 47 saat yang tular di media social itu memaparkan Hafiz sedang berhimpit dan cuba memberikan ruang buat pekerjanya untuk mencium batu Hajar Aswad sehingga kain ihramnya terbuka.
Sehubungan itu, tohmahan demi tohmahan yang diberikan berdasarkan video tersebut oleh netizen yang berasa hairan dengan tindakan usahawan itu merekod dan membuat hantaran di media sosial serta dianggap hanya sekadar membuat satu kandungan video trending (tular).
“Ya Allah! Malunya sebagai orang muslim rakyat Malaysia tengok ni. Perangai apakah ini? Kamu berada di kota suci, jagalah adab. Duit banyak tapi akal tiada,” kata Ari.
“Struggle (usaha habis-habisan) nak dapat cium Hajarul Aswad tu okay dah. Yang nak kena rekod tu kenapa ya? Kalau tak rekod, dosa tidak diampunkan ke? Kata nak buat kenangan, tapi kenapa post?,” kata Bani.
“Minta maaf cakap, ini hanyalah perbuatan sia-sia. Semata nak cium Hajarul Aswad bersesak sampai macam ni. Banyak lagi ibadah yang lebih Aula dari berhimpit semata nak cium,” kata Ukis Mazelan.
“Saya tak dapat cium Hajarul Aswad sebab ramai sangat orang. Suami tak bagi, sebab dia sendiri nak pergi vium pun struggle tapi alhamdulillah suami dapat cium dan saya juga terjaga daripada berhimpit dengan saudara lain,” kata Aliah.
Dalam pada itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, mencium Hajar Aswad merupakan ibadah, tetapi perbuatan itu adalah sunat.
“Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium Hajar Aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium Hajar Aswad adalah sunat.
“Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium Hajar Aswad adalah haram. Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari.
“Agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya. Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau Hajar Aswad di media sosial. Jika ia hanya sekadar “trend” untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah trend yang merugikan itu,” katanya melalui satu ciapan di laman X milik beliau. — KL Viral
Baca juga: