SEPANG: Seramai 23 aktivis Malaysia yang sertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan dari tahanan Israel, dan dijangka pulang ke tanah air pada Isnin ini.
Teruskan MembacaKetua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery berkata, semua aktivis tiba selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 8.40 malam waktu Malaysia, selepas berlepas dari Israel menggunakan pesawat Turkish Airlines yang ditaja penuh oleh kerajaan Turkiye.
“Mereka disambut wakil Kedutaan Malaysia, pegawai Wisma Putra dan wakil kerajaan Turkiye. Sekarang mereka ditempatkan di hotel sekitar Istanbul untuk berehat sebelum pulang,” katanya pada sidang media.
Beliau turut ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha diplomatik yang memastikan pembebasan rakyat Malaysia berjalan lancar.
“Sumud Nusantara amat menghargai kepimpinan Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menteri seperti Datuk Seri Fahmi Fadzil, Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Amirudin Shari yang sama-sama membantu dalam proses pembebasan,” tambahnya.
Selain itu, empat lagi rakyat Malaysia yang berada di kapal pemerhati Jong, serta beberapa individu lain di Cyprus dan Jordan, juga dilaporkan dalam keadaan baik dan dijangka bergabung dengan delegasi utama sebelum berlepas pulang.
Difahamkan, usaha pembebasan ini adalah hasil rundingan diplomatik dengan kerjasama rapat antara Malaysia, Turkiye, Jordan dan Amerika Syarikat.
Selain Malaysia, lebih 130 aktivis antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, UAE, Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia dan Jordan juga dibebaskan dengan bantuan kerajaan Turkiye.
Untuk rekod, kapal yang membawa aktivis Malaysia itu dipintas tentera Israel di perairan Zon Merah R3 Laut Mediterranean pada Khamis lalu sebelum mereka ditahan di Pelabuhan Ashdod.