KUALA LUMPUR: Nama Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi jadi perhatian dunia! Perdana Menteri Malaysia itu kini melonjak ke tempat ke-10 dalam senarai The World’s 500 Most Influential Muslims 2026, yang dikeluarkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) berpangkalan di Amman, Jordan.
Teruskan MembacaNaik lima anak tangga daripada tempat ke-15 tahun lepas (dan ke-17 pada 2024), peningkatan ini menunjukkan bagaimana pengaruh Anwar sebagai pemimpin Islam semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Laporan tahunan RISSC itu menyorot perjalanan panjang Anwar, daripada zaman mahasiswa di Universiti Malaya, perjuangannya dalam dunia politik, hingga akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November 2022.
Anwar digambarkan sebagai pemimpin berjiwa reformis, yang tidak mudah mengalah walaupun melalui pelbagai cabaran, termasuk pemenjaraan, digugurkan jawatan dan bertahun-tahun berjuang sebagai pembangkang sebelum kembali menerajui kerajaan di bawah gagasan Malaysia MADANI.
Antara perkara menarik yang diketengahkan dalam laporan itu ialah peranan Anwar dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, selepas berlakunya pertempuran di sempadan. RISSC menyifatkan beliau sebagai “pendamai serantau” yang berjaya membina kepercayaan antara dua negara jiran tersebut.
“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekaligus mengukuhkan imej Malaysia sebagai perantara keamanan di rantau Asia Tenggara,” tulis laporan itu.
Selain itu, RISSC juga menonjolkan pendirian tegas Anwar terhadap isu Palestin, apabila beliau lantang mengkritik kekejaman Israel dan menyeru masyarakat dunia untuk tidak berdiam diri terhadap penderitaan rakyat Gaza.
Malah, laporan itu turut mengingatkan kembali sikap berani Anwar menegur syarikat gergasi teknologi Meta, selepas platform itu memadam hantaran takziah terhadap pemimpin Hamas yang terbunuh. Menurut RISSC, ketegasan Anwar ini memperlihatkan prinsip beliau yang konsisten dalam menegakkan keadilan dan kebebasan bersuara.
Kemasukan Anwar dalam 10 tokoh Islam paling berpengaruh dunia mengiktiraf gaya kepimpinan beliau yang menggabungkan nilai keadilan sosial, tadbir urus progresif dan diplomasi berasaskan kemanusiaan, menjadikan Malaysia terus diperhatikan di pentas global.
Selain Anwar, antara nama besar lain dalam senarai itu termasuk Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud (Arab Saudi), Ayatollah Sayyid Ali Khamenei (Iran), Presiden Turki Recep Tayyip Erdoğan, dan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
RISSC mula menerbitkan laporan ini sejak tahun 2009 untuk menilai tokoh Islam paling berpengaruh dalam pelbagai bidang, termasuk politik, pendidikan, sains, kebajikan dan kebudayaan.
















