PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam kejadian tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
Teruskan MembacaDalam kenyataan pada Rabu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi, memuat naik atau menghantar semula sebarang gambar, video atau kandungan berkaitan insiden berkenaan.
“Kalau ada yang dah terlanjur muat naik, kami nasihatkan supaya segera padam kandungan tersebut,” jelas MCMC.
Menurut suruhanjaya itu, tindakan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga, tetapi juga boleh mengganggu siasatan pihak polis yang sedang dijalankan.
MCMC turut mengingatkan bahawa individu yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) iaitu kesalahan menggunakan perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan kandungan jelik, lucah atau mengaibkan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan selepas disyaki menikam pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, kira-kira jam 9.30 pagi, Rabu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku di luar kelas, dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Kes ini kini dalam siasatan lanjut pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang mengejutkan ramai pihak itu.















