PETALING JAYA: Pelakon kesayangan ramai, Siti Saleha, kini sedang meniti detik paling bermakna dalam hidupnya apabila mengumumkan bakal menimang anak lelaki tidak lama lagi.
Teruskan MembacaBerita gembira itu dikongsikan sendiri oleh pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu di laman Instagram miliknya. Dalam hantaran tersebut, Saleha memuat naik beberapa foto dan video sekitar majlis mitoni atau mandi bunga, lengkap dengan dekorasi serba indah serta suasana penuh kasih sayang.
Momen paling mencuri perhatian tentulah ketika asap biru dilepaskan tanda bahawa bayi yang bakal lahir adalah anak lelaki.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh suaminya, Joshua Fitton, serta ahli keluarga terdekat. Dalam video yang dikongsi, kelihatan pasangan itu sama-sama melalui upacara siraman tradisional, yang menjadi simbol doa dan keberkatan untuk ibu serta bayi dalam kandungan.
Untuk yang belum tahu, mitoni ialah adat Jawa yang biasanya dilakukan ketika kandungan mencecah tujuh bulan. Ia sebagai tanda kesyukuran serta harapan agar proses kelahiran dipermudahkan dan si kecil membesar dengan sihat.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 15 Februari lalu dalam satu majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. Sejak itu, Siti Saleha dilihat semakin bahagia menjalani kehidupan berumahtangga, sering berkongsi momen manis bersama suaminya di media sosial.
Ramai peminat dan rakan artis turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta doa buat Saleha dan suami. “Can’t wait to see baby boy!” tulis seorang peminat, manakala yang lain menyifatkan majlis tersebut sebagai “simple tapi penuh makna.”
Tahniah buat Siti Saleha dan Joshua Fitton! Tak sabar nak tengok wajah comel si kecil nanti.