KUALA LUMPUR: RHB Bank akhirnya tampil dengan keputusan rasmi berhubung insiden yang tular baru-baru ini, selepas siasatan dalaman terhadap kakitangannya selesai dijalankan.
Teruskan MembacaDalam kenyataan yang dikongsikan di media sosial pada Jumaat, pihak RHB memaklumkan individu yang terlibat dalam kejadian tersebut sudah tidak lagi bekerja dengan bank itu berkuat kuasa 31 Oktober 2025.
“RHB telah menyelesaikan siasatan dalaman terhadap perkara ini. Individu yang terlibat tidak lagi bekerja dengan RHB berkuat kuasa 31 Oktober 2025,” kata kenyataan rasmi itu.
Pihak bank juga menegaskan komitmen mereka untuk kekal berpegang pada nilai profesionalisme dan integriti dalam setiap urusan melibatkan pelanggan dan rakan kerja.
“Kami mengekalkan dasar tolak ansur sifar terhadap sebarang tingkah laku yang melanggar Kod Etika dan Tatakelakuan kami,” tambah kenyataan itu.
Tindakan ini diambil selepas tular video berdurasi kurang satu minit yang memaparkan seorang individu dipercayai kakitangan RHB berkelakuan tidak wajar terhadap pelanggan di salah satu cawangan bank tersebut.
Rakaman itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mempersoalkan tahap profesionalisme pekerja berkenaan, hingga ada yang menuntut tindakan tegas diambil.
Sebelum ini, RHB turut mengeluarkan kenyataan awal menyatakan mereka sedang menjalankan siasatan dalaman secara terperinci dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika wujud pelanggaran etika.
Dengan pengumuman terbaru ini, RHB menegaskan sekali lagi bahawa tiada kompromi terhadap sebarang salah lakuyang boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi kewangan itu.














