PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, lantang bersuara menentang tindakan FIFA yang menjatuhkan hukuman terhadap tujuh pemain bola sepak dalam isu perpindahan kontroversi baru-baru ini.
Teruskan MembacaMenerusi kenyataan di media sosial rasmi, TMJ yang juga Pemangku Sultan Johor menyifatkan hukuman tersebut sebagai tidak berasaskan undang-undang dan bermotif politik.
Baginda menjelaskan bahawa Artikel 22 Kod FIFA hanya boleh digunakan terhadap individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu dan bukan kepada pemain yang terlibat dalam kes berkenaan.
“FIFA terus menghukum para pemain tanpa menggunakan peruntukan sebenar undang-undang. Hukuman ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bermotif politik,” titah baginda.
TMJ turut menegaskan komitmen baginda untuk terus memperjuangkan nasib pemain yang terkesan, dengan merancang untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebuah badan bebas antarabangsa yang menguruskan pertikaian dalam dunia sukan.
“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan demi para pemain,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan asal Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang dibuat pada September lalu, selepas menolak rayuan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Susulan keputusan itu, FAM perlu membayar denda RM1.8 juta, manakala tujuh pemain terbabit, Gabriel Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel kekal digantung selama 12 bulan dan masing-masing didenda sekitar RM10,411.
FAM kini mempunyai 10 hari untuk memohon keputusan bertulis daripada FIFA sebelum diberi 21 hari untuk mengemukakan rayuan rasmi kepada CAS.
Langkah TMJ ini jelas menunjukkan pendirian tegas baginda dalam mempertahankan keadilan dalam sukan bola sepak dan memastikan pemain tidak menjadi mangsa kepada keputusan yang dilihat tidak adil.
















