Nama Timur Gabriel jadi buah mulut netizen sejak kebelakangan ini selepas ada pihak mempersoalkan kebolehan dia bertutur dalam Bahasa Melayu. Lebih panas bila isu itu pula dikaitkan dengan nama penyanyi legenda, Zainal Abidin, yang didakwa sebagai ayah kandungnya.
Teruskan MembacaApa yang buat ramai terkejut, Timur akhirnya tampil bersuara dan meluahkan rasa bengang dengan pertanyaan yang disifatkan tidak sensitif itu. Dalam satu perkongsian, Timur mempersoalkan semula soalan yang sering dia terima:
“Ayah? Ayah yang mana?”
Menurut Timur, dia kehairanan mengapa tahap kefasihan Bahasa Melayu sering dijadikan ukuran identiti diri seseorang, lebih-lebih lagi apabila ia terus dikaitkan dengan latar belakang keluarga.
Lebih menyedihkan, katanya, apabila seseorang itu dipuji kerana fasih berbahasa Inggeris di luar negara, tetapi apabila bercakap Bahasa Melayu dengan loghat berbeza di tanah air sendiri, terus dipandang pelik.
Timur turut menjelaskan bahawa dia dibesarkan oleh ibunya yang berketurunan Cina selepas ibu bapanya berpisah. Jadi, loghat dan gaya bahasanya hari ini adalah hasil daripada persekitaran dan cara dia membesar, bukan sesuatu yang direka atau sengaja dibuat-buat.
Namun apa yang benar-benar mengganggu emosinya apabila isu bahasa tersebut dijadikan alasan untuk ‘meneka’ siapa ayah kandungnya, seolah-olah identiti keluarga adalah bahan perbualan umum yang boleh dipersendakan.
Dalam kalangan netizen pula, ramai tampil mempertahankan Timur dan menyifatkan serangan terhadap cara pertuturannya sebagai tidak beradab. Bagi mereka, bahasa boleh diperbaiki, tapi adab dan empati lebih utama.
Ramai juga bersetuju bahawa kebolehan berbahasa tidak sepatutnya dijadikan tiket untuk menilai latar belakang seseorang, apatah lagi melibatkan isu keluarga yang bersifat peribadi.
Isu ini sekali lagi membuka mata ramai tentang budaya ‘judge’ di media sosial. Betapa mudahnya orang menilai, tanpa tahu cerita sebenar di sebaliknya.
Apa pun, satu perkara jelas: fasih atau tidak, hormat itu tetap wajib.
















