Isu pengecualian bayaran balik PTPTN untuk graduan Kelas Pertama dari IPTS kembali jadi topik hangat di Parlimen apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengakui cadangan itu memang wajar dipertimbangkan, khususnya untuk pelajar daripada kelompok B40 dan M40.
Teruskan MembacaTimbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, setakat ini skim pengecualian yang ada lebih tertumpu kepada graduan universiti awam (IPTA). Jadi bila cadangan mahu diluaskan kepada pelajar IPTS, kerajaan perlu teliti dari segi pelaksanaan, kos dan kesannya kepada dana PTPTN.
“Cadangan ini ada asasnya, tetapi cara pelaksanaannya perlu diperhalusi. KPT akan bincangkan perkara ini bersama Kementerian Kewangan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” jelas beliau ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Dalam masa sama, beliau turut berkongsi angka terkini bayaran balik PTPTN sehingga 31 Oktober, yang menunjukkan kutipan mencecah berbilion ringgit.
Antaranya, lebih 911,000 peminjam daripada keluarga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sudah melangsaikan bayaran sebanyak RM13.89 bilion. Selain itu, lebih 450,000 peminjam daripada kumpulan sama masih membayar secara konsisten, melibatkan jumlah RM4.17 bilion.
Bagaimanapun, masih ramai juga yang belum melunaskan hutang – hampir satu juta peminjam STR dikenal pasti mempunyai tunggakan mencecah RM10.23 bilion.
Untuk peminjam bukan penerima STR pula, mereka yang berpendapatan bawah RM8,000 sebulan sudah membayar hampir RM703 juta, manakala golongan bergaji lebih RM8,000 menyumbang bayaran sebanyak RM1.54 bilion.
Bagi kategori yang bayar secara konsisten, seramai 131,000 peminjam bukan STR bawah RM8,000 berjaya melangsaikan RM657 juta, manakala 39,000 peminjam bergaji tinggi melunaskan lebih RM362 juta.
Namun masalah tunggakan masih wujud apabila hampir 200,000 peminjam bukan STR berpendapatan bawah RM8,000 mempunyai baki hutang tertunggak RM539 juta, dan lebih 64,000 peminjam bergaji besar pula menanggung tunggakan RM257 juta.
Kesimpulannya, walaupun cadangan “hapus kira PTPTN” untuk graduan cemerlang IPTS nampak menarik dan adil, kerajaan perlu pastikan ia dilaksana dengan teliti supaya tidak menjejaskan kedudukan kewangan PTPTN dalam jangka masa panjang.
Persoalannya sekarang, adakah impian lepasan IPTS cemerlang untuk bebas hutang PTPTN bakal jadi kenyataan? Sama-sama kita tunggu perkembangan seterusnya.
















