Tatkala dunia menghampiri detik penutup tirai tahun 2025, Malaysia turut melabuhkan sebuah tahun yang sarat dengan pelbagai peristiwa besar melibatkan landskap politik, perundangan, sosial, ekonomi serta dunia hiburan tanah air.
Tahun ini menyaksikan episod penting dalam perjalanan negara, merangkumi perubahan kepimpinan, keputusan mahkamah berprofil tinggi, tragedi yang menyentuh nurani rakyat serta pencapaian yang membangkitkan semula keyakinan nasional.
Teruskan MembacaAntara peristiwa paling menonjol ialah rombakan Kabinet Persekutuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Disember 2025, melibatkan 11 portfolio merangkumi dua jawatan menteri dan lapan timbalan menteri.

Dalam rombakan tersebut, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu, menggantikan Hannah Yeoh yang dipindahkan ke portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Sementara itu, beberapa timbalan menteri turut dinaikkan pangkat, termasuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, dilantik sebagai Menteri Ekonomi bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli. Datuk Mustafa Sakmud pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).
Dari sudut politik kepartian, sejarah turut tercipta apabila Nurul Izzah Anwar berjaya meraih jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti 2025, sekali gus menewaskan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Nurul Izzah, yang sering digelar sebagai “Puteri Reformasi”, memperoleh mandat kukuh daripada akar umbi parti dengan 9,803 undi, sebagaimana diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada 23 Mei lalu.

Dalam arena perundangan pula, dua keputusan mahkamah berprofil tinggi mencuri perhatian rakyat dan masyarakat antarabangsa. Kes pertama melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang didapati bersalah atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion terhadap Najib selepas beliau disabitkan atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Sebaliknya, Mahkamah Rayuan pada 25 Jun 2025 membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). Panel tiga hakim sebulat suara mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.
Di sebalik dinamika politik dan perundangan, tahun 2025 turut digegarkan dengan isu sosial yang menyentuh emosi rakyat apabila kes kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha di Sabah, Zara Qairina Mahathir, mencetuskan gelombang kesedaran nasional terhadap isu buli.

Kematian Zara yang didakwa berkait dengan pembulian telah mencetuskan kempen “Justice For Zara” di seluruh negara, sekali gus menuntut siasatan yang telus dan keadilan menyeluruh. Kementerian Pendidikan memberi jaminan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa tanpa sebarang campur tangan politik atau pengaruh berkepentingan.
Dalam dunia seni dan budaya, tumpuan turut terarah kepada peristiwa perkahwinan pelakon legenda negara, Erra Fazira, yang selamat disatukan dengan ahli perniagaan, Mohamad Ezwan Mohamad Zain, pada 12 Disember 2025. Majlis akad nikah tersebut berlangsung secara tertutup di Selangor dan menjadi antara berita hiburan paling mendapat perhatian tahun ini.

Sektor hiburan turut diserlahkan dengan kejayaan penganjuran konsert genKRU The Finale: One More Time oleh trio legenda KRU, yang mencatat sejarah tersendiri apabila lima konsert berskala besar berjaya menarik puluhan ribu peminat, sekali gus membuktikan daya tarikan berterusan industri muzik tempatan.

Menutup tirai 2025, perkembangan ekonomi negara turut mencatat isyarat positif apabila ringgit Malaysia diniagakan sekitar RM4.04 berbanding dolar Amerika Syarikat, antara paras tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pengukuhan ringgit mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara, bukan sahaja berbanding dolar AS malah mata wang serantau lain termasuk dolar Singapura.
Secara keseluruhannya, tahun 2025 meninggalkan kesan mendalam dalam lipatan sejarah negara, menjadi cerminan cabaran, pembaharuan dan harapan baharu dalam perjalanan Malaysia menuju masa hadapan.
















