Nama Khairul Aming memang tak asing lagi dalam dunia media sosial, terutama bila sebut pasal makanan. Lepas bertahun-tahun ‘menguasai’ dunia online, pempengaruh terkenal ini kini buat langkah besar apabila mengumumkan pembukaan restoran pertamanya, Rembayung, yang dijangka mula beroperasi Januari depan.
Teruskan MembacaApa yang buat ramai terkejut, modal yang dilaburkan bukan kecil, hampir RM4 juta! Memang jelas ini bukan projek suka-suka, sebaliknya satu perancangan besar untuk jangka panjang.
Rembayung dibangunkan di kawasan strategik di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan keluasan tapak sekitar 8,000 kaki persegi. Restoran ini dikatakan boleh memuatkan kira-kira 250 pelanggan pada satu-satu masa, sesuai untuk yang nak datang makan ramai-ramai dengan keluarga atau kawan.
Menariknya, Khairul Aming turut berkongsi bahawa beliau telah mengambil seramai 50 anak muda tempatan untuk bekerja di restoran tersebut dan yang lebih ‘plot twist’, ada antara mereka yang tak tahu pun Rembayung sebenarnya milik pempengaruh terkenal itu!

Dari segi konsep pula, Rembayung dijanjikan tampil dengan suasana ‘kampung di tengah bandar’, lengkap dengan menu yang mengekalkan cita rasa masakan tempatan, tetapi disajikan dengan sentuhan moden.
Khairul Aming sendiri menyifatkan pembukaan restoran ini sebagai langkah pertamanya ke dunia perniagaan ‘offline’ selepas lebih sedekad membina nama di alam maya. Katanya, Rembayung bukan sekadar restoran, tetapi permulaan kepada perancangan besar untuk 10 tahun akan datang.
Dengan nama besar, modal padu dan konsep yang menarik, ramai dah tak sabar nak tengok sendiri macam mana ‘rasa’ restoran pertama Khairul Aming ini. Januari nanti, kita tengok sama ada Rembayung bakal jadi port makan wajib warga kota!
















