Satu sesi live yang sepatutnya biasa-biasa bertukar jadi perbualan hangat netizen bila personaliti media sosial, Prince Syed, kelihatan seperti menjilat lantai di hadapan kamera. Rakaman itu pantas tular dan menimbulkan pelbagai spekulasi. Ada yang terkejut, ada yang keliru, malah ada yang terus mengkritik tanpa tahu cerita sebenar.
Teruskan MembacaNamun, fakta di sebalik kejadian itu rupanya jauh lebih membimbangkan.
Prince Syed akhirnya tampil menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku ketika dirinya berada dalam keadaan tidak sihat dan sangat lemah. Lebih mengejutkan, waktu itu dia dikatakan tidak dapat menghubungi ahli keluarga melalui telefon dan berada dalam keadaan tertekan serta tidak tahu kepada siapa hendak meminta bantuan.
“Saya cuba hubungi keluarga tapi tak dapat. Saya betul-betul tak tahu nak buat apa masa itu,” luahnya.
Disebabkan terlalu panik, keletihan dan kebingungan, dia memilih untuk membuat siaran langsung dengan harapan ada individu yang dapat melihat keadaannya dan tampil membantu. Namun malangnya, dalam keadaan separa sedar, perkara yang tidak dijangka pula berlaku di depan kamera.

Katanya, dia sendiri hanya sedar semula selepas siaran tamat, dan ketika menonton semula rakaman berkenaan, dia terkejut serta malu dengan apa yang berlaku.
“Saya tak pernah niat buat perkara pelik, apatah lagi untuk konten. Keadaan masa itu betul-betul tak terkawal.”
Penjelasan tersebut membuat ramai netizen mula mengubah nada. Jika sebelum ini dipenuhi kecaman dan sindiran, kini muncul pula komen yang mempersoalkan mengapa tiada sesiapa tampil membantu ketika dia jelas berada dalam kesusahan.
Ramai juga menyuarakan simpati dan mengingatkan bahawa tidak semua benda tular itu dibuat untuk perhatian, ada yang berlaku kerana seseorang benar-benar sedang bergelut secara fizikal dan mental.
Bagi Prince Syed, kejadian ini menjadi titik pengajaran besar. Dia mengakui akan lebih menjaga kesihatan, emosi dan keselamatan diri sebelum memutuskan untuk bersiaran secara langsung selepas ini.
Apa yang orang nampak mungkin sekadar “kontroversi”, tetapi hakikatnya ia adalah satu jeritan senyap seseorang yang perlukan bantuan.
















