Naluri seorang ibu mengandung yang menyedari dia seperti diekori ternyata benar apabila fotonya ditangkap seorang lelaki yang mempunyai minat pelik iaitu obses dengan ibu mengandung.
Mangsa yang dikenali sebagai Shiraatajudin berkata, dia diekori oleh lelaki tersebut ketika berada di sebuah pusat beli-belah terkenal sehingga ke kawasan tempat meletak kenderaan.
Teruskan Membaca“Lelaki itu memegang telefon pintar sama seperti di dalam video seolah-olah sedang merakam sesuatu. Saya berasa tidak sedap hati lalu beritahu suami.
“Suami saya menahan (mendekati) pak cik itu lalu meminta telefon pintarnya.
“Alangkah terkejutnya apabila mendapati gambar saya ada di dalam telefon pak cik ini,” kongsi wanita itu.
Difahamkan, telefon pintar milik lelaki itu turut dipenuhi dengan gambar-gambar wanita mengandung lain.
Ekoran kejadian itu, wanita itu memaklumkan dia masih trauma dan menasihati ibu-ibu mengandung di luar sana supaya berjaga-jaga.
“Saya pakai jubah pun boleh terkena (jadi mangsa), padahal (sedangkan) saya dengan suami. Rasa tidak selamat sangat. Saya menggigil dan menangis di situ juga (lokasi) semalam.”
Tambahnya, perbuatan lelaki ‘preggophile’ itu sudah dilaporkan kepada pihak polis.