MUZIK Korea Selatan kian menguasai pentas global dengan artis antarabangsa semakin gemar berkolaborasi bersama bintang K-Pop.
Terkini, Rosé daripada kumpulan popular, Blackpink berganding suara dengan Bruno Mars dalam lagu duet berjudul APT, yang kini menjadi kegemaran ramai terutama golongan remaja.
Teruskan MembacaLagu ini semakin hangat berkumandang di stesen radio tempatan dan terus membuktikan pengaruh K-Pop yang luar biasa di peringkat antarabangsa, setelah mencatat lebih 100 juta tontonan di YouTube hanya dalam tempoh seminggu selepas pelancarannya.
Walaubagaimanapun, maksud lirik yang disampaikan menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen sehingga mencetuskan kontroversi.
Public Health Malaysia melalui satu hantaran di Facebook pada Khamis telah mendedahkan maksud serta mesej di sebalik lirik lagu tersebut.
Menyatakan bahawa lirik APT mengandungi unsur negatif dan lucah, lagu duet oleh penyanyi popular itu dianggap kurang sesuai untuk didengar oleh masyarakat, terutamanya kanak-kanak.
“Penggunaan istilah ‘APT’ atau ‘apartmen’ sebagai simbolik untuk tempat pertemuan dalam konteks menggoda juga memperlihatkan normalisasi terhadap tingkah laku yang bertentangan dengan nilai-nilai budaya Timur.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah bagaimana lagu ini sering digunakan sebagai muzik latar dalam video-video media sosial, menjadikannya sebahagian daripada kehidupan harian tanpa kita sedari.
“Anak-anak mungkin menghafal lirik ini tanpa menyedari mesej yang disampaikan,” jelasnya.
Justeru, pengaruh negatif yang tidak sihat boleh mendatangkan masalah lebih-lebih lagi kanak-kanak yang baru sahaja membesar dan lagu berkenaan secara terang-terangan membawa pengaruh gaya hidup tidak sihat dan normalisasi budaya Barat.
Walaubagaimanapun, pandangan dan nasihat hanya sekadar peringatan buat semua. — KL Viral
Baca juga: