PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 bagi tahun 2026 yang mula dibayar hari ini adalah antara usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.
Teruskan MembacaMenurut Anwar, kira-kira lima juta penerima bakal menikmati bantuan ini, melibatkan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas yang hidup tanpa pasangan. Setiap penerima akan menerima bantuan antara RM100 hingga RM500, bergantung kepada kelayakan masing-masing.
Beliau menjelaskan, STR kini diperkukuhkan dengan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memastikan golongan yang layak mendapat sokongan kewangan secara lebih konsisten dan berterusan.
“STR berfungsi sebagai bantuan tambahan yang disalurkan secara suku tahunan, terutamanya untuk menampung perbelanjaan ketika musim perayaan, manakala SARA pula menjadi sokongan bulanan yang lebih stabil bagi keperluan asas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, SARA diwujudkan sebagai jaringan keselamatan kewangan jangka panjang khususnya untuk golongan berpendapatan rendah dan mereka yang berada dalam situasi rentan.
Anwar turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir, selain menjamin setiap lapisan masyarakat dapat menjalani kehidupan yang lebih bermaruah.
Beliau berharap bantuan yang disalurkan itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penerima demi kesejahteraan diri dan keluarga.















