SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini sedang menyiasat satu video aktiviti senaman aerobik yang tular di media sosial dan dipercayai berlaku di Bukit Badong, Selangor.
Teruskan MembacaVideo berkenaan yang dimuat naik di TikTok itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, dengan ramai mempertikaikan kesesuaian perlakuan dalam rakaman tersebut, terutamanya kerana ia dilakukan di tempat awam dan dikaitkan dengan isu sensitiviti agama.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana kandungan video berkenaan didakwa mengandungi elemen tidak sopan yang boleh memberi persepsi negatif terhadap agama Islam.
“Perbuatan ini bukan sahaja dilihat tidak beradab, malah mempunyai unsur perlakuan tidak sopan di tempat awam dan berpotensi menyebabkan agama Islam dipandang serong,” katanya.
Menurut JAIS, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti lokasi sebenar kejadian, penganjur aktiviti serta individu yang terlibat dalam video tular tersebut.
Dalam masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline JAIS di talian 1800-88-2424.
Isu ini sekali lagi mengundang perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai batas kesopanan dan kepekaan agama, khususnya apabila sesuatu aktiviti dikongsi secara terbuka dan menjadi tular.
JAIS menegaskan akan terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keharmonian masyarakat serta nilai-nilai Islam di Selangor terus terpelihara.
















