PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap platform media sosial X, susulan kebimbangan serius terhadap isu keselamatan pengguna, khususnya melibatkan kanak-kanak dan remaja.
Teruskan MembacaMenteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu sedang dibincangkan secara mendalam selepas mendapati platform berkenaan gagal memastikan kandungan yang beredar selamat dan selari dengan undang-undang Malaysia.
Menurut beliau, mana-mana platform media sosial yang tidak mematuhi keperluan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, termasuk aspek perlindungan pengguna, boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Sekiranya platform gagal memastikan keselamatan pengguna, tindakan saman boleh diambil. Ketika ini, MCMC sedang mempertimbangkan tindakan terhadap platform X,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di Bangunan SUK Selangor.
Fahmi turut mendedahkan antara isu utama yang mencetuskan kebimbangan ialah lambakan kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) di platform itu, yang berpotensi mencetuskan perdebatan tidak sihat serta memaparkan bahan tidak sesuai kepada pengguna bawah umur.
Katanya, kementerian kini giat mengadakan perbincangan berterusan dengan semua platform media sosial bagi memastikan mereka mematuhi Akta Keselamatan Dalam Talian serta peraturan sedia ada.
“Kerajaan menyasarkan agar menjelang pertengahan tahun ini, semua platform media sosial dapat bekerjasama sepenuhnya untuk mengehadkan akses dan penyebaran kandungan tertentu, khususnya kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi menjelaskan kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha menjadikan internet lebih selamat selepas isu infrastruktur komunikasi berjaya diselesaikan.
“Anak-anak dan remaja hari ini menggunakan media sosial setiap hari. Jadi tanggungjawab kerajaan adalah memastikan ruang digital ini selamat dan tidak memudaratkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MCMC akan mengumumkan perincian lanjut berkaitan tindakan yang bakal diambil dalam masa terdekat.
















