Pelakon popular Qi Razali nampaknya semakin bersedia untuk memegang gelaran bapa apabila cahaya mata sulungnya dijangka lahir penghujung Januari ini.
Teruskan MembacaQi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali berkongsi bahawa hampir semua keperluan bayi sudah disediakan lebih awal, termasuk lampin, pakaian bayi dan baby cot.
Menurutnya, pengalaman membeli barangan bayi benar-benar membuka mata, terutama apabila dia baru tahu pakaian bayi ada saiz “kosong bulan”, sesuatu yang disifatkan sebagai comel dan mencuit hati.
“Lampin, baby cot semua dah siap. Bilik baby pun dah kemas sikit-sikit,” katanya.
Qi turut mengakui walaupun teruja menanti kehadiran orang baharu dalam keluarga, dia tetap berasa sedikit gementar, terutamanya memikirkan soal berjaga malam dan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Namun begitu, dia dan isteri dilihat tenang dan positif, malah sudah mula mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan yang berpengalaman untuk membuat persiapan mental dan fizikal.
Dalam pada itu, Qi berkata soal jantina bayi diserahkan sepenuhnya kepada ketentuan, dan apa yang penting baginya adalah kesihatan ibu dan anak.
Perkongsian tersebut mendapat reaksi positif daripada peminat yang rata-rata mendoakan urusan kelahiran dipermudahkan serta tidak sabar melihat Qi memegang peranan baharu sebagai seorang ayah.
















