PETALING JAYA: Seramai 3.1 juta belia bujang di seluruh negara mula menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bermula hari ini, sekali gus memberi kelegaan kepada golongan muda yang bergelut dengan kos sara hidup semakin meningkat.
Teruskan MembacaBantuan berkenaan dilihat hadir tepat pada masanya, terutama buat belia yang baru membina kerjaya, bekerja sendiri atau bergaji rendah, ketika harga barangan dan keperluan harian terus meningkat.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, bantuan ini menyasarkan golongan B40, miskin, miskin tegar serta berpendapatan sederhana bagi membantu mereka menampung keperluan asas harian.
Menurut KBS, inisiatif itu bukan sekadar bantuan tunai semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai ‘penyambung nafas’ buat belia yang terkesan dengan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan pasaran pekerjaan.
Dalam masa sama, penerima diingatkan supaya menggunakan bantuan diterima secara berhemah dengan mengutamakan perbelanjaan penting dan mengelakkan pembaziran.
KBS turut menggalakkan belia memanfaatkan pelbagai peluang latihan serta peningkatan kemahiran yang disediakan kerajaan bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi jangka panjang.
















