Orang ramai yang merancang untuk bergerak di sekitar Kuala Lumpur hujung minggu ini dinasihatkan supaya bersedia lebih awal apabila 12 persimpangan utama akan ditutup dan dilencongkan sempena sambutan Thaipusam, bermula esok (Jumaat) hingga Selasa depan.
Teruskan MembacaPenutupan laluan ini dibuat bagi memberi laluan kepada perarakan pedati yang akan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H S Lee menuju ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves. Perarakan dijangka bermula sekitar jam 9 malam.
Antara laluan yang terlibat termasuk beberapa kawasan tumpuan di pusat bandar seperti persimpangan Jalan Tun Perak, Jalan Sultan, Jalan Petaling, Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail, selain beberapa laluan utama lain di sekitar kawasan tersebut.
Menurut polis trafik Kuala Lumpur, pergerakan balik pedati dijangka bermula pada 2 Februari, sekitar jam 3 petang, dan dijangka tiba semula pada awal pagi 3 Februari, kira-kira jam 4 pagi.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, memilih laluan alternatif, serta mematuhi arahan anggota polis trafik yang bertugas bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan keselamatan semua pihak.
Sambutan Thaipusam merupakan acara tahunan yang melibatkan kehadiran ribuan penganut dan pengunjung, justeru kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memastikan perjalanan acara berjalan lancar.















