KUALA LUMPUR: Kecoh di TikTok bila muncul beberapa video yang didakwa memaparkan suara Sultan Ibrahimkononnya menawarkan bantuan kewangan sempena Ramadan. Rupanya, semua itu palsu!
Teruskan MembacaIstana Johor dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan pihaknya mengesan beberapa akaun TikTok palsu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara Seri Paduka Baginda.
Video berkenaan menyebarkan mesej seolah-olah Yang di-Pertuan Agong mengumumkan bantuan khas kepada rakyat. Namun istana menegaskan, kandungan tersebut bukan daripada pihak rasmi dan tidak pernah dikeluarkan oleh Baginda.
Orang ramai diminta supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan akaun atau video yang tidak disahkan, lebih-lebih lagi bila melibatkan tawaran duit atau bantuan kewangan. Modus operandi seperti ini dipercayai digunakan sindiket penipuan untuk memperdayakan mangsa.
Istana Johor turut mengingatkan bahawa perbuatan menyamar dan menyalahgunakan identiti seseorang, apatah lagi institusi diraja, adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Sebelum ini, perkara sama pernah berlaku melibatkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila Istana Pahang mengesan video AI yang menyamar sebagai Baginda dan mendakwa menawarkan bantuan kerajaan.
Istana Pahang juga sudah menjelaskan bahawa Sultan Pahang tidak mempunyai akaun media sosial peribadi dan segala kenyataan rasmi hanya dibuat menerusi saluran yang sah.
Nampaknya, teknologi AI sekarang makin canggih sampai boleh tiru suara individu berprofil tinggi. Jadi sebelum tekan ‘share’ atau percaya bulat-bulat, pastikan dulu sumbernya sahih. Jangan sampai terjebak dengan scammer yang ambil kesempatan!
















