Pelakon popular Fattah Amin mengakui dia sendiri tidak menyangka anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.
Menurut Fattah, dia hanya menyedari perkara itu apabila Fatima berpeluang merakamkan lagu raya bersama ibunya, pelakon dan penyanyi Fazura.
Teruskan MembacaKatanya, dia berasa terhibur melihat kecomelan anaknya ketika menyanyi, malah tidak menyangka percubaan tersebut mendapat reaksi positif daripada peminat.

Fattah turut berkongsi bahawa sebelum ini Fatima memang menunjukkan minat terhadap muzik dan gemar menyanyi, namun kebiasaannya hanya menyanyikan lagu kanak-kanak atau bersenandung ketika berada di rumah dan di dalam kereta.
Bagi pelakon itu, apa yang paling penting adalah melihat anaknya gembira melakukan perkara yang diminatinya. Sebagai seorang ayah, dia sentiasa memberikan sokongan terhadap minat Fatima selagi ia memberi kegembiraan kepada anaknya.
Fatima sebelum ini mencuri perhatian apabila tampil menyanyi dalam lagu raya berjudul Raya Pum Pang Lagi bersama ibunya. Lagu tersebut turut mendapat perhatian ramai di media sosial, dengan peminat memuji kecomelan serta keberanian Fatima menyanyi di usia muda.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura pernah mendirikan rumah tangga pada tahun 2017 sebelum berpisah pada Oktober 2024. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Fatima yang kini semakin mendapat perhatian ramai.
















