Siapa sangka, di sebalik kesibukan dunia lakonan, pelakon cantik Sophia Albarakbah kini mencuri perhatian apabila tampil berniaga di bazar Ramadan.
Teruskan MembacaSophia bersama kakaknya membuka gerai menjual air kelapa pandan segar di sekitar Kuala Lumpur. Apa yang menarik, air kelapa yang dijual bukan jenis campur gula atau sirap tambahan seperti kebiasaan di bazar, sebaliknya 100 peratus asli terus dari buah.
Menurut Sophia, inisiatif itu bukan sekadar berniaga, tetapi juga untuk menggalakkan orang ramai memilih minuman yang lebih sihat, terutamanya sepanjang bulan puasa. Katanya, ramai yang cenderung membeli air terlalu manis ketika berbuka, sedangkan air kelapa segar sudah cukup memberi rasa manis semula jadi selain membantu menghilangkan dahaga.
Pelakon itu turut berkongsi bahawa dia sendiri kurang menggemari minuman manis dan lebih memilih pilihan yang lebih semula jadi. Malah, air kelapa juga terkenal dengan kandungan elektrolit yang baik untuk badan selepas seharian berpuasa.
Walaupun sibuk dengan jadual penggambaran, Sophia tetap meluangkan masa turun ke gerai jika ada kelapangan untuk membantu kakaknya melayan pelanggan. Katanya lagi, dia terbuka menerima apa juga maklum balas demi memastikan kualiti minuman dan servis sentiasa berada pada tahap terbaik.
Nampaknya tahun ini bukan sahaja aktif di kaca televisyen, malah Sophia juga ‘turun padang’ mencari rezeki sambil menyebarkan kesedaran tentang gaya hidup lebih sihat.
















