Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, ramai yang sudah mula sibuk membuat persiapan termasuk menukar duit raya untuk diberikan kepada kanak-kanak dan saudara-mara.
Namun, baru-baru ini tular di media sosial mengenai satu servis tukar duit raya berbayar yang didakwa dilakukan oleh individu tertentu, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Teruskan MembacaPerkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, @matchastrawberry05, yang menceritakan pengalamannya ketika pergi ke sebuah cawangan Bank Islam Malaysia Berhad di Kubang Kerian untuk menukar duit raya.
Menurutnya, pihak bank memaklumkan bahawa mereka tidak menyediakan perkhidmatan tukar duit raya, sesuatu yang agak mengejutkan kerana kebiasaannya bank menyediakan kemudahan tersebut setiap kali musim perayaan.
“Aku pergi Bank Islam Kubang Kerian, dia orang cakap tak buat tukar duit raya. Aku pun pelik juga, bank tak boleh tukar duit raya ke? Lepas tu buka Facebook nampak orang share satu post,” tulisnya.
Melalui hantaran Facebook yang tular itu, seorang individu dilihat menawarkan servis tukar duit raya bagi tahun 2026 dengan menyediakan wang kertas baharu RM1, RM5 dan RM10.
Namun begitu, servis tersebut bukan percuma kerana pelanggan dikenakan caj RM10 bagi setiap RM100 yang ingin ditukar.
Lebih mengejutkan, individu yang menawarkan servis itu didakwa merupakan seorang pegawai bank yang menggunakan aksesnya untuk mendapatkan wang kertas baharu dalam jumlah yang banyak sebelum menjadikannya sebagai “bisnes”.
Dalam iklan tersebut juga dinyatakan tiada had tukaran selagi stok masih ada, manakala caj dikenakan kononnya bagi mengelakkan unsur riba.
Pendedahan itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata meluahkan rasa marah dan kecewa, terutamanya apabila ramai yang sukar mendapatkan duit raya baharu daripada bank tahun ini.
Ada juga pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman sama apabila mendakwa semakin susah untuk mendapatkan wang kertas baharu berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Setakat ini, pihak Bank Negara Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu yang sedang tular ini.
Dalam masa sama, ramai berharap agar perkara ini disiasat supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan terhadap orang ramai, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan.
















