Selepas 15 tahun melayari alam rumah tangga, pelakon dan pempengaruh media sosial Norreen Iman akhirnya sah bercerai talak satu dengan suaminya, Mohd. Raizi Abdul Razak di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.
Usai prosiding, pasangan tersebut dilihat tenang dan memilih untuk tidak berkongsi sebarang kenyataan kepada pihak media, seolah-olah mahu menyimpan urusan peribadi mereka secara tertutup.
Teruskan MembacaTerdahulu, Norreen sempat memuat naik satu perkongsian ringkas tetapi cukup memberi makna di Threads miliknya yang dipercayai menggambarkan detik penting yang sedang dilalui.
“Bismillahirrahmanirrahim,” tulisnya.
Sebelum ini, kehadiran mereka ke mahkamah pada 29 April lalu sudah mula menjadi perhatian ramai apabila difahamkan hadir bagi urusan pengesahan lafaz cerai.
Namun begitu, kedua-duanya terus mengambil pendekatan berdiam diri tanpa sebarang penjelasan lanjut berhubung situasi rumah tangga mereka.
Malah, desas-desus mengenai hubungan pasangan itu mula diperkatakan sejak beberapa ketika lalu apabila mereka dilihat tidak lagi berkongsi momen bersama di media sosial, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.
Untuk rekod, Norreen dan Raizi mendirikan rumah tangga pada tahun 2011 dan dikurniakan dua orang cahaya mata.
















