Bekas bintang bola sepak dunia, David Beckham sekali lagi mencipta nama apabila dilaporkan menjadi atlet pertama dari Britain yang berjaya mencapai status bilionair.
Menurut senarai Sunday Times Rich List 2026, jumlah kekayaan Beckham bersama isterinya, Victoria Beckham kini dianggarkan mencecah £1.185 bilion atau sekitar RM7.4 bilion.
Teruskan MembacaPencapaian itu sekali gus meletakkan pasangan terkenal tersebut sebagai antara figura sukan paling kaya di United Kingdom, berada di belakang keluarga bekas ketua eksekutif Formula Satu, Bernie Ecclestone.
Walaupun sudah bersara daripada dunia bola sepak sejak tahun 2013, Beckham dilihat terus mengukuhkan empayarnya menerusi pelbagai cabang perniagaan dan pelaburan. Antaranya sebagai pemilik bersama kelab bola sepak Inter Miami CF yang kini muncul antara kelab paling bernilai dalam saingan Major League Soccer (MLS).
Selain itu, bekas kapten England itu turut meraih pendapatan lumayan menerusi kerjasama bersama jenama antarabangsa seperti Adidas dan Hugo Boss yang terus menjadikan namanya relevan sehingga hari ini.
Sepanjang karier bola sepaknya, Beckham dikenali sebagai antara pemain paling berpengaruh apabila pernah membantu Manchester United meraih pelbagai kejuaraan sebelum meneruskan karier bersama Real Madrid, LA Galaxy, AC Milan dan Paris Saint-Germain.
Dalam masa sama, kejayaan kewangan pasangan itu turut didorong oleh Victoria Beckham yang membina empayar fesyen sendiri selepas mencipta fenomena sebagai anggota kumpulan pop terkenal, Spice Girls.
Turut tersenarai dalam senarai individu sukan terkaya ialah juara dunia Formula Satu tujuh kali, Lewis Hamilton dengan anggaran kekayaan £435 juta, diikuti juara Masters 2026 Rory McIlroy serta petinju Britain Anthony Joshua.















