Teka-teki mengenai siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara Talk To My Manager (TTMM) musim kedua akhirnya terjawab apabila Anggrek bersama pengurusnya, Adira Suhaimi, berjaya merangkul gelaran tersebut pada pentas akhir yang berlangsung malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta trofi kemenangan.
Teruskan MembacaPada malam kemuncak yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Anggrek memukau penonton menerusi persembahan lagu Aku Stacy nyanyian Stacy dan Sutera daripada Aisha Retno, sekali gus menewaskan empat finalis lain.
Tempat kedua pula menjadi milik Hussain bersama pengurusnya, Jamilullhayat. Pasangan itu tampil dengan persembahan penuh tenaga dan berjaya membawa pulang wang tunai RM15,000 serta trofi.
Lebih manis, Jamilullhayat turut dipilih sebagai Pengurus Paling Perform. Beliau membawa pulang hadiah misteri berupa pakej percutian cruise serta wang tunai berjumlah RM1,010.10.
Sementara itu, Cik B dan pengurusnya, Datuk Seri Vida, menduduki tempat ketiga sekali gus membawa pulang RM10,000 dan trofi.
Mereka turut menerima pelbagai hadiah sampingan termasuk emas tajaan Payang Jewellery, pakej penginapan di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, peruntukan pengurusan dan pemasaran daripada Rocketfuel Entertainment serta sebuah single baharu.
Tempat keempat menjadi milik Azeva bersama pengurusnya, Datuk A. Aida, manakala Kim Khairii dan pengurusnya, Safura, berada di kedudukan kelima.
Kedua-dua pasangan tersebut membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi.
Selain lima finalis itu, TTMM2 turut menyaksikan penyertaan pasangan Althe dan Nana Mahazan, Viviana dan Ani Mayuni, Fariedz Fazly dan Datuk Fazley Yaakob, Ammara dan Azad Jazmin serta Ratu dan Linda Jasmine.
Program itu dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi, manakala barisan juri tetap terdiri daripada Che Puan Sarimah Ibrahim dan Datuk AC Mizal, dengan Hael Husaini tampil sebagai juri jemputan pada malam akhir.
















