Pelakon terkenal, Datin Lisa Surihani akhirnya selamat pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah.
Kepulangan Lisa nyata disambut penuh kegembiraan oleh suaminya, Datuk Yusry Abdul Halim serta anak-anak mereka yang sudah lama menanti detik untuk bertemu semula.
Teruskan MembacaMenurut Yusry, dia dan Lisa merancang satu kejutan kecil buat anak-anak dengan tidak memberitahu tarikh sebenar kepulangan ibu mereka.
Katanya, anak-anak hanya dimaklumkan bahawa mereka akan ke lapangan terbang untuk menjemput sepupu, tanpa mengetahui individu yang bakal muncul sebenarnya adalah Lisa.
“Alhamdulillah, ibadah haji dia sudah selesai. Anak-anak pun ada bersama hari ini, cuma mereka mungkin terlupa tentang tarikhnya.
“Kami beritahu pergi airport untuk jemput sepupu mereka. Jadi mungkin mereka tidak mengesyaki apa-apa. Saya pun tak sabar nak tengok reaksi mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Yusry mengakui sepanjang ketiadaan Lisa, seluruh keluarga amat merinduinya terutama anak-anak yang sering bertanya bilakah ibu mereka akan pulang.
Menurutnya, mereka memahami tujuan pemergian Lisa ke Tanah Suci adalah untuk beribadah, justeru keluarga memilih untuk tidak terlalu mengganggunya sepanjang berada di sana.
“Memang semua rindu Lisa. Satu keluarga rindu dia. Tapi kami tahu dia ke sana untuk menunaikan ibadah, bukan bercuti.
“Kami tak ganggu dia sangat ketika di sana. Bila semuanya selesai, barulah kami datang sambut kepulangannya.
“Anak-anak memang menghitung hari. Hampir setiap masa mereka tanya bila ibu nak balik,” ujarnya.
Terdahulu, Lisa berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji musim ini tanpa ditemani suaminya selepas permohonan visa rayuan Yusry dilaporkan tidak berjaya.
Kini, selepas beberapa minggu berjauhan, momen pertemuan semula keluarga kecil itu turut menyentuh hati ramai yang mengikuti perjalanan ibadah Lisa di media sosial.















