NAMA dua penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri dan Nadeera menjadi sebutan hangat apabila muncul tanda tanda siapakah yang akan mempersembahkan lagu Astana di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) baru-baru ini.
Meskipun berita yang bertebaran ‘memanaskan telinga’, namun akui Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, mengakui tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Nadeera.
Teruskan MembacaUjarnya, memandangkan mereka berdua terlibat dalam satu industri yang sama, jadi mustahil baginya bermasam muka atau tidak bertegur sapa dengan Nadeera.
“Kami tidak mempunyai masalah, duduk di dalam industri muzik yang sama. Kedua-duanya mencari rezeki, pergilah mana pun berjumpa juga akhirnya di sini.
“Nadeera juga ada cuba menghampiri saya untuk bawa berbincang dan perkara ini menjelaskan keadaan yang sebetulnya. Kami memahami pihak masing-masing, saya juga tidak marah dengan mana-mana pihak dan semuanya sudah selesai,” ujarnya kepada KL VIRAL.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga mengharapkan agar peminat tidak mengkritik mahupun melemparkan kenyataan kurang enak kepada Nadeera disebabkan perkara itu.
“Kalian tidak mengetahui cerita yang sebenar, jadi jangan melemparkan kata-kata seperti mengetahui semuanya.
“Perkara ini juga sudah selesai dan saya harap peminat berhenti mengecam dia (Nadeera) dan jangan membuat masa untuk mencari kesilapan orang lain,” ujarnya.
Sementara itu, Nadeera yang turut sependapat dengan Ernie mengharapkan agar dia diberikan peluang untuk melebarkan sayap dalam bidang seni hiburan tanah air.
Katanya, meskipun perkara itu pahit untuk ditelan, tetapi dia menganggap apa yang berlaku sebagai asam garam dalam bergelar anak seni.
“Saya mengaku bahawa masih baru sebagai seorang penyanyi dan hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan pada ketika itu.
“Kecaman yang saya dapat itu, saya anggap sebagai satu ujian dan hanya membiarkan sahaja perkara itu berlalu,” ujarnya seraya tersenyum.
Biarpun berdepan dengan situasi sulit, namun pemilik nama Farah Nadeera Zaini, 32, tetap optimis dan positif bagi meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.
Untuk rekod, kedua-dua bintang itu akan terlibat dalam menjayakan konsert Voice Of The Heart yang dijadualkan akan berlangsung pada 9 Mac depan di Zepp Kuala Lumpur.
Selain mereka, acara tersebut turut disertai oleh dua bintang senior popular iaitu Datuk Hattan dan Jay Jay.
Konsert tersebut bertujuan untuk mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang berdepan dengan kekejaman tentera Zionis Israel. — KL VIRAL
Baca juga: