Pelakon dan pempengaruh, Fatin Afeefa berkongsi khabar gembira apabila hak jagaan penuh anak perempuannya, Ivy Herra Sophia akhirnya disahkan diberikan kepadanya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Fatin meluahkan rasa syukur selepas melalui tempoh panjang bagi menyelesaikan isu tersebut dan memaklumkan segala urusan berkaitan sudah dimuktamadkan.
Teruskan Membaca“Alhamdulillah. Perjalanan yang panjang akhirnya sampai ke penghujung. Semuanya sudah selesai dan hak jagaan kekal penuh diberikan kepada saya sebagai ibu kandung,” tulisnya.

Dalam masa sama, Fatin yang kini berusia 32 tahun berkata dia mahu meneruskan kehidupan dengan lebih tenang serta memberi sepenuh perhatian kepada perkara yang paling penting buat dirinya iaitu kesejahteraan Ivy.
Menurutnya, tiada lagi ruang untuk tekanan atau perkara yang tidak perlu, selain menegaskan suara anaknya juga wajar dihormati dan didengari.
“Sekarang masa untuk teruskan hidup dengan aman dan fokus kepada perkara yang benar-benar penting, iaitu Ivy.
“Tiada lagi alasan, tiada lagi desakan yang tidak perlu. Suara Ivy juga penting dan dia berhak untuk didengari. Jalankan tanggungjawab masing-masing demi dirinya,” katanya.
Sebelum ini, pada Mei lalu, Fatin pernah berkongsi rasa lega apabila usaha selama tiga tahun memperjuangkan hak penjagaan anaknya akhirnya membuahkan hasil.
Dalam keputusan yang dibuat, Mahkamah Syariah turut menetapkan bayaran nafkah bulanan dinaikkan selain kos yuran persekolahan ditanggung sepenuhnya oleh bekas suami Fatin, Adam Shahz.
Fatin turut mengakui tempoh turun naik mahkamah sepanjang tiga tahun bukan sesuatu yang mudah, namun dia tetap kuat demi memastikan masa depan dan kebajikan Ivy terus terpelihara.
















