KUALA LUMPUR: Rumah tangga pelakon dan pengacara popular, Fikry Ibrahim nampaknya berdepan ujian apabila isterinya, Siti Khalizah Alihan, memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.
Difahamkan, Siti Khalizah yang berpakaian serba hitam hadir ke mahkamah sekitar jam 9.40 pagi.
Teruskan MembacaNamun begitu, kelibat Fikry sebagai defendan masih belum kelihatan ketika prosiding bermula.
Perkara itu disahkan oleh peguam syarie yang mewakili Siti Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd Razib.
“Ya, dia (Fikry) dijangka hadir… tapi setakat ni saya tak nampak lagi,” katanya kepada media.
Kes penceraian pasangan itu dijadualkan didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin.
Untuk rekod, pasangan terbabit berkahwin secara tertutup pada 12 Februari lalu di Jitra, Kedah serta berita pernikahan mereka hanya diketahui umum setelah jurusolek memuat naik beberapa gambar majlis tersebut.
Sebelum ini, Fikry menjelaskan dia tidak berniat merahsiakan perkahwinan, tetapi lebih selesa untuk tidak menguar-uarkan perkara yang belum pasti.
“Bukan nak sorok… cuma saya percaya, kalau belum pasti, tak perlu kongsi,” katanya dalam rancangan Melodi.
Dalam masa yang sama, Fikry juga pernah menafikan dakwaan kononnya dia kelihatan seperti “terpaksa” berkahwin, gara-gara wajahnya yang dikatakan tidak ceria dalam foto pernikahan.
Menurut Fikry, raut wajahnya itu mungkin disebabkan memikirkan tanggungjawab berat sebagai suami dan anak, lebih-lebih lagi apabila dia masih menjaga ibunya yang semakin uzur di kampung.







