PUTRAJAYA: Raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2025 pagi tadi meriah habis dengan pelbagai kejutan termasuk kehadiran mengejut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun menyapa petugas perarakan di Dataran Putrajaya.
Teruskan MembacaAcara bermula seawal jam 7 pagi dengan perarakan utama sejauh 2.1km dari persimpangan Dataran Putra, membabitkan lebih 14,000 peserta daripada pelbagai agensi, kementerian dan pasukan beruniform.
Raptai kali ini juga diserikan dengan persembahan human graphic dan koir melibatkan 2,000 pelajar dari 50 sekolah, selain kehadiran artis popular seperti Elfira Loy dan adiknya Ezlisa Loy yang mencuri perhatian di kalangan penonton.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata sambutan rasmi 31 Ogos nanti bakal tampil dengan beberapa elemen “Wow Factor” di bawah tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.
“Antaranya, persembahan khas Malaysia MADANI dengan penyertaan 1,000 peserta. Malah, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza sendiri akan menyanyikan lagu tema Hari Kebangsaan 2025,” katanya.
Selain itu, persembahan udara oleh Angkatan Tentera Malaysia dengan formasi menarik serta tujuh kenderaan berhias daripada agensi dan syarikat korporat turut mewarnai raptai kali ini.
Antara agensi terlibat termasuk ASEAN Chairmanship (KLN), Visit Malaysia Year 2026 (MOTAC), U Mobile, MRCB, MCMC, AKPK dan LHDN.
Kalau raptai pun dah penuh dengan kejutan dan elemen menarik, pastinya sambutan rasmi Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos ini akan jadi lebih meriah dan dinanti-nantikan