PETALING JAYA: Pelakon popular, Nora Danish tampil menafikan khabar angin kononnya dia bakal berkahwin esok selepas beberapa foto dan video dirinya dalam persalinan pengantin tular di media sosial.
Teruskan MembacaSpekulasi makin panas bila seorang jejaka dikenali sebagai Mickey Ayo juga berkongsi gambar berbaju Melayu putih di Instagram, seolah-olah memberi bayangan mereka bakal mendirikan rumah tangga.
Namun, Nora menjelaskan semua foto dan video yang tersebar itu hanyalah sebahagian daripada kempen pemasaran, dan langsung tidak ada kaitan dengan kehidupan peribadinya.
“Foto dan rakaman video yang tular sebenarnya satu kempen pemasaran, bukan urusan peribadi saya,” tulisnya di Instagram.
Dalam masa sama, Nora turut berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan mendoakan kebaikan buat dirinya.
“Saya sangat hargai doa dan kasih sayang yang diberikan. Harap penjelasan ini dapat jelaskan semua salah faham,” tambahnya.
Walaupun begitu, perkongsian Mickey Ayo berbaju Melayu putih tetap jadi bualan hangat netizen. Tapi Nora sudah tegaskan, ia langsung tiada kena-mengena dengan hal peribadinya.