KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Baru, Syed Badli Shah Syed Osman, menegaskan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru tak patut dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak.
Teruskan MembacaKatanya, tindakan segelintir individu yang dikatakan menghasut orang luar hingga berlaku provokasi dan mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, sangat tidak bertanggungjawab.
“Saya kecam tindakan tak beretika itu sebab majoriti yang datang sebenarnya bukan penduduk, tapi orang luar yang termakan dakwaan kononnya kerajaan zalim terhadap penduduk,” jelas beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.
Syed Badli, yang juga Ketua Cabang PKR Titiwangsa, menambah bahawa kebanyakan penduduk sudah pun setuju dengan projek pembangunan semula tersebut.
Menurutnya, 304 premis sudah bersetuju kosongkan unit masing-masing secara sukarela dengan pampasan yang setimpal. Hanya 24 lot saja yang masih tertangguh, menunggu pelaksanaan Writ Milikan Kosong kali kedua seperti diputuskan Mahkamah Tinggi.
“Tindakan pihak berwajib yang ada kebenaran mahkamah tak sepatutnya dihalang, apatah lagi dengan cara provokasi yang boleh timbulkan ketegangan,” katanya lagi.
Beliau juga minta pihak berkuasa jalankan siasatan penuh dan ambil tindakan tegas terhadap individu yang buat kekecohan.
“Jangan politikkan isu Sungai Baru. Ini soal pembangunan yang beri manfaat jangka panjang, bukan saja untuk penduduk, tapi juga Kuala Lumpur secara keseluruhan,” tegasnya.