PUTRAJAYA: Perbicaraan kes pelakon dan penyanyi popular, Naim Daniel, yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, ditetapkan berlangsung selama tiga hari pada bulan Disember ini.
Teruskan MembacaHakim Mahkamah Sesyen, M Kunasundary menetapkan tarikh perbicaraan pada 15, 16 dan 18 Disember selepas pengurusan kes dijalankan pada Jumaat.
Naim, atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan itu terhadap seorang remaja berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 19 Mei lalu.
Jika sabit kesalahan, Naim berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khadijah Amir Hamdzah, manakala Naim diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi.
Menurut peguam, pihaknya turut memohon agar mangsa memberi keterangan melalui sidang video, namun kerana usianya sudah mencecah 18 tahun ketika perbicaraan nanti, keterangan akan direkodkan secara biasa.
















