PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang berkelapangan diseru untuk hadir menyatakan solidariti serta memberi tekanan diplomatik kepada Amerika Syarikat (AS) melalui himpunan aman yang akan diadakan petang ini di ibu negara.
Teruskan MembacaKetua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, berkata himpunan tersebut bertujuan membantah penahanan 12 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla(GSF) oleh tentera Israel pada awal pagi Khamis.
“Peranan para peserta GSF telah pun selesai. Kini tanggungjawab kita di tanah air adalah untuk turun bersama menyatakan pendirian dan memberi tekanan. Himpunan Sumud Flotilla akan berlangsung pada Khamis, 2 Oktober 2025, jam 4.00 petang bermula di The Linc KL sebelum bergerak menuju ke Kedutaan AS,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Menurut beliau, himpunan berkenaan akan diselaras dengan bantuan beberapa individu termasuk PU Amin dan IM Asyraf, selain menyeru rakyat Malaysia untuk menyebarkan maklumat ini agar lebih ramai hadir.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihaknya sedang berusaha secara intensif dengan menghubungi pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan keselamatan serta pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan.
Beliau dalam masa sama turut mendoakan agar ahli keluarga para aktivis, sukarelawan Malaysia, ASEAN dan antarabangsa terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi situasi getir ini.