GAZA: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan dan sokongan moral ke Gaza berakhir dengan insiden penahanan besar-besaran apabila tentera laut Israel memintas konvoi tersebut di perairan antarabangsa.
Teruskan MembacaMenurut laporan agensi berita Turkiye, Anadolu Ajansi, seramai 317 aktivis antarabangsa daripada 21 buah kapal kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel. Mereka sedang melalui proses dokumentasi sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing, kebanyakannya di Eropah.
Kesemua aktivis tersebut dibawa ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel, tempat di mana siasatan awal dan proses deportasi dijalankan.
Antara yang ditahan ialah warganegara dari Malaysia, Turkiye, Sepanyol, Itali, Brazil, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, United Kingdom dan Perancis. Turut menyertai flotilla itu ialah dua tokoh antarabangsa iaitu Greta Thunberg, aktivis iklim dari Sweden, serta Thiago Ávila, aktivis sosial dari Brazil.
Penahanan ini mencetuskan kecaman meluas daripada masyarakat antarabangsa yang menyifatkan tindakan Israel sebagai cubaan menyekat gerakan solidariti kemanusiaan untuk Gaza.
Di Malaysia, insiden itu turut menggerakkan ribuan rakyat turun ke jalanan dalam Himpunan Sumud Flotilla menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, sebagai tanda solidariti serta bantahan terhadap tindakan keras Israel.