KUALA LUMPUR: Pelakon Ardell Aryana dilaporkan mengalami kecederaan pada bahunya selepas menjadi mangsa kekasaran semasa dalam tahanan rejim Israel. Menurut suaminya, Nadzmi Adhwa, tisu di bahu Ardell koyak akibat kekerasan yang berlaku.
Teruskan MembacaDalam satu posting di Threads malam tadi, Nadzmi berkongsi keresahannya:
“Ada lagi kecederaan pada bahu Ardell! Bahu dia koyak! Allahuakbar! Apa ini.”
Saudara Ardell, Ayib, turut memberitahu bahawa adiknya kini dalam keadaan kurang stabil dan sedang menerima rawatan rapi. Badannya dilaporkan lebam-lebam, dan doktor sukar melakukan pemeriksaan darah kerana aliran darah dikatakan “tak keluar”.
Sementara itu, Nadzmi memohon orang ramai agar menghentikan penyebaran sebarang gambar Ardell yang boleh disalah tafsir atau mendatangkan fitnah. Dia menegaskan agar netizen menghormati privasi isterinya dan memberi ruang masa serta doa untuk pemulihan.
“Minta masa dan doa sahaja untuk isteri saya. Tolong jangan keluarkan gambar yang bukan-bukan. Boleh tak kita tunggu Ardell balik?” kata Nadzmi.
“Saya mohon jasa baik. Kalian sangat baik mendoakan dan ambil berat. Terima kasih untuk itu.”
Sebelum ini, Ardell dan aktivis kemanusiaan Malaysia lain (termasuk Haikal Abdullah) dilaporkan dipindahkan ke sebuah hospital di Istanbul selepas melalui situasi kritikal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.







