KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan istimewa daripada Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
Teruskan MembacaDalam perkongsian di media sosial, Anwar memaklumkan bahawa panggilan tersebut bukan sekadar untuk bertanya khabar, tapi turut disertai dengan doa serta harapan tulus daripada Baginda Sultan untuk kesejahteraan dirinya.
“Baginda dengan penuh takzim bertanya khabar dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan saya. Menjunjung kasih atas doa dan keprihatinan Tuanku,” kata Anwar.
Dalam semangat persaudaraan serumpun, Anwar turut menyampaikan doa balas buat Sultan Brunei.
“Saya turut mendoakan agar KDYMM Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” tambahnya lagi.
Hubungan mesra antara kedua-dua pemimpin ini sememangnya bukan perkara baru. Keakraban mereka sering menjadi asas kepada hubungan kukuh Malaysia dan Brunei, termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, serta kebajikan rakyat.
Boleh dikatakan, panggilan telefon ini bukan sekadar simbol diplomatik tapi juga tanda eratnya hubungan dua sahabat dan pemimpin serumpun yang saling menghormati.
















