PETALING JAYA: Walaupun gencatan senjata terbaru diumumkan, keadaan di Gaza masih jauh daripada tenang. Hospital terus sesak, kekurangan tenaga kerja, ubat-ubatan dan peralatan asas, sementara ribuan pesakit masih menunggu rawatan yang entah bila akan tiba.
Teruskan MembacaNamun begitu, pasukan MERCY Malaysia tetap teguh di lapangan, meneruskan misi kemanusiaan mereka tanpa mengenal penat.
Melalui Pasukan Penjagaan Khusus (Specialised Care Team-SCT 6) di bawah penyelarasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sukarelawan MERCY Malaysia kini berada di Gaza memberikan rawatan dan sokongan kepada penduduk yang terjejas akibat perang yang berpanjangan.
“Walaupun ada gencatan senjata, keadaan di Gaza masih sangat kritikal. Hospital kekurangan bekalan asas dan ramai pesakit perlukan rawatan segera,” kata wakil MERCY Malaysia.
Pasukan sukarelawan terdiri daripada pakar bedah, pakar bius, ortopedik serta jururawat berpengalaman ini telah memulakan kerja mereka minggu lalu dengan melakukan rawatan awal dan tinjauan klinikal di beberapa kawasan terjejas.
Mereka berdepan cabaran besar, sistem kesihatan hampir lumpuh, namun tetap teruskan usaha dengan semangat luar biasa.
Pengerusi Yayasan Ikhlas, Zainur Rashid Zainuddin, yang turut serta dalam misi itu menyifatkan keadaan di Gaza sebagai “amat menyayat hati”.
“Kami lihat sendiri bagaimana hospital-hospital di sana musnah. Ramai pesakit menunggu rawatan sebab fasiliti terlalu terhad,” katanya.
Menurutnya, tempoh gencatan senjata ini sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk menyalurkan lebih banyak bantuan antarabangsa agar misi kemanusiaan dapat digerakkan dengan lebih lancar.
“Misi ni bukan senang, tapi kami tetap berpegang pada amanah untuk bantu selagi termampu. Setiap ruang keamanan harus dimanfaatkan,” ujarnya.
MERCY Malaysia juga menegaskan bahawa fokus mereka bukan sekadar pada bantuan kecemasan, tetapi turut memberi tumpuan kepada pemulihan jangka panjang sistem kesihatan Gaza yang rosak teruk akibat konflik.
“Kami nak bantu mereka bangkit semula, bukan sekadar rawatan sementara, tapi bina semula harapan,” kata kenyataan itu.
Orang ramai yang nak bantu boleh salurkan sumbangan melalui akaun rasmi MERCY Malaysia di:
CIMB Islamic Bank Berhad: 8606 1291 17
SWIFT Code: CTBBMYKL
Rujukan: Gaza
Usaha pasukan MERCY Malaysia ini membuktikan bahawa semangat kemanusiaan rakyat Malaysia masih kuat, terus berdiri teguh bersama Gaza, tanpa mengira cabaran atau jarak.














