DI tengah hiruk-pikuk bandar raya, ketibaan 127 warga Palestin di Pangkalan Udara Subang telah menjadi satu momen yang menyentuh hati ramai.
Mereka bukan sahaja melintasi sempadan dan benua, tetapi juga telah mengharungi kesakitan dan penderitaan akibat konflik yang tidak pernah reda di tanah air mereka, Gaza.
Teruskan MembacaMalaysia, dengan hati yang penuh empati, menjadi negara pertama di Asia yang membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Usaha tersebut bukan sahaja mencerminkan keprihatinan Malaysia terhadap nasib saudara mereka di Palestin, tetapi juga menjadi lambang solidariti yang tidak terhingga.
Bagi rakyat Palestin, perjalanan selama 16 jam untuk tiba ke Malaysia adalah lebih daripada sekadar sebuah penerbangan; ia adalah peluang kedua, harapan baru yang disuluh oleh keprihatinan sebuah negara yang jauh di Asia Tenggara.
Ketibaan mereka di sini bukan hanya disambut oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tetapi juga oleh rakyat Malaysia yang dari kejauhan turut merasai keperitan yang mereka alami.
Kisah tersebut bukan sekadar berita; ia adalah kisah kemanusiaan yang mengingatkan kita tentang betapa pentingnya nilai empati dan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Tatkala dunia bergelut dengan pelbagai isu, langkah kecil seperti ini mencipta kesan yang besar, bukan hanya untuk mereka yang diselamatkan, tetapi juga untuk kita yang menyaksikannya.
Warganet turut memuji usaha murni kerajaani, membanjiri media sosial dengan ucapan terima kasih dan rasa bangga terhadap kerajaan.
Menjengah di ruangan komen laman X, rata-rata warganet meluahkan rasa senang dan terharu dengan langkah kerajaan tersebut.
“Terima kasih Kerajaan Madani, satu usaha yang berani. Bukan cakap kosong,” komen Mierularep.
“Alhamdulillah. Sangat berbangga dengan perwira negara kita!” ujar Aineesa3.
“Langkah kerajaan membawa segelintir rakyat Palestin untuk dirawat disini memang wajar dipuji. Misi bantuan kemanusiaan yang terbaik dari Malaysia,” kata Hafizshamsul27.
“Duta Palestin mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia. Satu-satunya kerajaan yang prihatin membawa pesakit-pesakit rakyat Palestin untuk dirawat di Malaysia. Syabas PMX,” ujar Amer7211.
“Terima kasih Malaysia! Terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim! Malaysia pertama di Asia bawa pesakit warga Palestin untuk rawatan. Terbaik PMX dan Kerajaan Perpaduan,” komen Nazril_Iznil.
“Terima kasih PMX dan Kerajaan Madani membantu rakyat Palestin. Satu-satunya negara Asia yang berani membuat begini buat julung kalinya dengan menghantar pesawat dan membawa ke Malaysia untuk rawatan,” kata Hirman74.
Warganet Malaysia menzahirkan sokongan dan doa, berharap agar rakyat Palestin yang cedera dapat sembuh dengan cepat dan kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.
Malaysia sekali lagi menunjukkan bahawa meskipun kita terpisah oleh jarak dan sempadan, kita tetap bersatu dalam semangat kemanusiaan. — KL Viral
Baca juga: