Oleh: Tyah Helmi
Teruskan MembacaPETALING JAYA: Sebuah tragedi yang meruntun jiwa menimpa seorang wanita apabila suami tercinta maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari pejabat hanya kerana mahu mengambil semula susu anak yang tertinggal.
Kisah pilu itu dikongsikan sendiri oleh isteri mangsa menerusi laman Threads, yang menceritakan detik-detik terakhir bersama suaminya termasuk permintaan terakhir lelaki itu yang mahu menikmati lauk sotong goreng kunyit sebagai makan malam.
“Saya tak boleh tidur dari tadi dan saya nak bagitahu sesuatu.
“Suami saya, dia minta masak sotong goreng kunyit saya masakkanlah.
“Lepastu, saya tunggu suami balik kerja nak tahu tak apa jadi. Suami saya tak nak jamah pun makanan saya dahlah nasi siap masak,” tulisnya.
Namun, lauk yang dimasak dengan penuh kasih sayang itu tidak sempat dijamah.
Suaminya telah pulang awal dari kerja tetapi berpatah balik ke pejabat kerana mahu mengambil susu anak yang tertinggal sebelum terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya.
“Rupanya suami saya tak makan sebab dia syahid waktu balik kerja.
“Suami saya sebenarnya dah balik awal, disebabkan susu anak tertinggal kat tempat kerja, jadi patah balik ambil susu anak,” katanya.
Wanita itu turut berkongsi bahawa momen terakhir mereka sebagai sebuah keluarga adalah ketika berada di klinik bersama suami dan anaknya tanpa menyangka itulah kenangan terakhir yang akan terpahat selamanya.
“Sedekahkan Al-Fatihah buat suami saya tau. Suami saya meninggal di tempat kejadian.
“Muka dan barang suami penuh dengan tumpahan susu anak. Alhamdulillah suami saya kemalangan, tapi keadaannya sempurna seperti tidur,” luahnya.
Perkongsian tersebut mengundang rasa simpati dan kesedihan dalam kalangan pengguna media sosial yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan takziah dan doa agar wanita itu terus kuat menghadapi hari-hari mendatang.
“Tak mampu suruh sabar, mampu doakan puan dan anak tabah dan kuat menjalani hidup yang mendatang,” tulis seorang pengguna bernama Ajuanie.















