Isu keselamatan kanak-kanak di alam maya kini bukan lagi perkara remeh, malah semakin mendesak untuk ditangani dengan lebih tegas dan tersusun.
Teruskan MembacaDengan internet menjadi sebahagian daripada rutin harian kanak-kanak dan remaja, ruang digital yang sepatutnya menjadi tempat belajar dan berhubung kini turut membuka pintu kepada pelbagai risiko tersembunyi.
Sehubungan itu, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) menyatakan sokongan terhadap langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang akan mewajibkan penyedia perkhidmatan pesanan internet serta platform media sosial berskala besar untuk mendapatkan lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, bermula 1 Januari 2026.
Menurut OCC, langkah tersebut dilihat sebagai satu perkembangan positif dalam memastikan platform digital yang beroperasi di Malaysia lebih bertanggungjawab, terutamanya dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman di dunia siber.
Pendekatan itu juga selari dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang memberi fokus kepada keselamatan pengguna, khususnya golongan kanak-kanak dan institusi keluarga.
OCC menegaskan, platform digital berskala besar tidak seharusnya beroperasi tanpa tanggungjawab yang jelas, memandangkan pengaruh besar mereka terhadap pembentukan emosi, pemikiran dan kesejahteraan kanak-kanak.
“Keselamatan kanak-kanak dalam talian bukan satu pilihan, sebaliknya satu kewajipan,” menurut OCC dalam kenyataan mereka.
Tambah OCC, perlindungan yang berkesan perlu meliputi pencegahan eksploitasi seksual, buli siber, pendedahan kepada kandungan berbahaya serta risiko emosi dan psikologi yang boleh memberi kesan jangka panjang.
Dalam dunia digital hari ini, OCC mengakui ancaman terhadap kanak-kanak sering berlaku secara senyap dan berulang, malah sukar dikesan tanpa sistem kawalan yang kukuh.
Justeru, OCC berpandangan platform digital perlu direka dengan ciri keselamatan kanak-kanak sebagai tetapan asas, termasuk perlindungan mengikut peringkat umur, saluran laporan yang mudah digunakan, pemantauan kandungan yang lebih berkesan serta tindakan pantas dan telus.
OCC turut menegaskan sokongan terhadap usaha MCMC mewujudkan peraturan yang konsisten dan boleh dikuatkuasakan, sambil menjelaskan bahawa langkah ini tidak menyasarkan pengguna biasa.
Menjawab kebimbangan mengenai kebebasan bersuara, OCC menjelaskan inisiatif tersebut bukan bertujuan menyekat hak bersuara, sebaliknya memberi perlindungan kepada golongan rentan, selari dengan amalan antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.
Langkah MCMC ini, menurut OCC, juga selari dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) serta Akta Kanak-Kanak 2001, yang mewajibkan semua pihak memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, termasuk di alam siber.
















