Terkini

Tular syarahan pendukung Israel, UM mohon maaf

UNIVERSITI Malaya (UM) mohon maaf kepada semua pihak atas isu tular seorang pendukung rejim Israel, Bruce Gilley yang hadir untuk mengadakan syarahan di universiti berkenaan.

Menerusi kenyataan, UM memandang serius perkara tersebut dan telah mengambil tindakan membatalkan program dan aktiviti yang dijadualkan untuk Gilley secara serta-merta.

“Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu yang berpotensi untuk bekerjasama dengan pihak universiti.

“UM turut mengecam kenyataan individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia yang melampau dan mampu mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia,” kata kenyataan UM pada Khamis.

Tindakan tersebut merupakan susulan daripada arahan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mengarahkan UM untuk memberhentikan aktiviti yang melibatkan Gilley, termasuk memberi laporan penuh hasil siasatan mengenai isu itu kepada KPT.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyatakan setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan dasar serta pendirian kerajaan.

Pada masa sama, setiap agensi dan institusi di bawah KPT diingatkan supaya peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top