BEKAS RNF Racing, Datuk Razlan Razali ‘diintai’ oleh Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) untuk diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Presiden.
Menurut AHLI Jawatankuasa KLCA, Datuk Ng Joo Ngan, perkara itu dibuat berdasarkan kepakaran, pengalaman dan pengaruh Razlan agar dapat menguatkan lagi imej KLCA.
Teruskan Membaca“Saya mengenali Razlan sejak berusi 14 tahun lagi. Kelebihannya dia masih mempunyai pengaruh dan sekali gus dapat menarik penaja dan memulihkan semula KLCA.
“Kami memerlukan dana yang mencukupi untuk melahirkan produk-produk tempatan yang berkualiti dalam bidang ini. Jadi kami bercadang untuk mengambil dia sebagai presiden baharu dan menariknya dia juga minat dengan sukan berbasikal,” katanya.
Dalam pada itu, Razlan yang pernah menyandang tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebelum beralih mengendalikan pasukan di kelas perdana MotoGP berkata, dia ditawarkan untuk memimpin KLCA selepas didatangi oleh Joo Ngan.
“Saya didatangi ahli jawatankuasa KLCA dan mengusulkan untuk bertanding sebagai presiden KLCA serta memulihkan persatuan tersebut sebelum Krismas lalu.
“KLCA merupakan sebuah persatuan yang hebat sebelum ini, kita mahu kembalikan kegemilangan itu yang berpangkalan di Kuala Lumpur pasti memberikan satu kelebihan buat negara,” kata Razlan menurut Kosmo.
Untuk info, perancangan awal yang dibincangkan ialah persiapan pasukan yang lebih jitu untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak nanti. — KL VIRAL